KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan ketiga-tiga
tonggak utama mereka bakal mengubah haluan dengan menyarung jersi Johor
pada saingan Liga Malaysia musim depan.
Sambil menyifatkan berita mengenai penghijrahan pemain tersebut tidak
berasas, Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim menegaskan kesemua mereka
masih mempunyai kontrak beraksi dengan The Red Warriors setakat ini.
“Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) mempunyai ikatan dengan Kelantan
sehingga tahun depan manakala kontrak Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd
Nurul Azwan Roya pula hanya akan berakhir November nanti,” katanya
ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Kita sudah menghantar surat (penawaran kontrak) kepada semua pemain
pada Julai lalu. Jadi kita masih dalam proses berunding dengan mereka
sama ada berminat atau tidak untuk terus kekal bersama Kelantan. Tiada
perbincangan mengenai perpindahan, jadi mereka kekal bersama kita setakat ini.
“Jadi tidak adil kenyataan sedemikian dikeluarkan sedangkan Liga
Malaysia 2012 sendiri masih belum berakhir. Ini sebenarnya melanggar kod
etika yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),”
katanya.
Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan ketiga-tiga pemain berkenaan
disunting bekas juara Piala Malaysia 1991 itu untuk beraksi dalam
kancah Liga Perdana musim depan.
Malah dalam laporan itu juga menyatakan, Persatuan Bola Sepak Negeri
Johor (PBNJ) bersedia berbincang dengan Kafa bagi membolehkan Norshahrul
Idlan, penyerang yang merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP)
100Plus-FAM pada 2010 dan 2011 mendapat pelepasan untuk menyarung jersi
Johor.
Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, pihak Kafa akan menghantar
surat kepada badan induk bola sepak kebangsaan dalam masa terdekat
sebagai membantah kenyataan yang disifatkan melanggar peraturan itu.
“Saya tidak berminat untuk berbalas kenyataan di media. Tetapi sebagai
seorang bekas pemain profesional, Fandi (Ahmad) (Pengurus Pasukan Johor)
tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut.
"Ia boleh mengganggu tumpuan pemain kita yang sedang beraksi dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia ketika ini.
“Apa jua keadaan mereka kena ikutlah saluran yang betul dan merujuk kepada Kafa.
"Saya harap pasukan lain pun bersabar sebelum mereka mengumumkan nama
pemain baru masing-masing sehinggalah musim Liga Malaysia berakhir 20
Oktober ini,” katanya.-sinar
Saturday
Kelantan nafi lepas 3 pemain
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment