Pesawat itu dibawa pulang semula ke Malaysia semalam selepas menjalani kemasan terakhir di kilang Airbus di Toulouse, dengan warna serta hiasan korporat MAS yang baru menjelang penerbangan sulungnya ke London, esok.
Ketua Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya, berkata sambutan memberangsangkan yang diterima untuk penerbangan dua minggu pertama A380 memberikan isyarat sangat positif kepada syarikat penerbangan kebangsaan itu.
Katanya, bersandarkan tempahan awal yang diterima, faktor muatan bagi pesawat A380 adalah 10 peratus lebih tinggi daripada yang dicatatkan penerbangan serupa yang menggunakan pesawat Boeing 747.
“Faktor muatan A380 untuk penerbangan dua minggu pertama ini ternyata sudah melebihi jangkaan kami.
“Pesawat baru ini menyediakan daya tarikan yang besar dan ini sudah dibuktikan oleh syarikat penerbangan lain yang turut menggunakan A380.
“Kami mahu meraih faktor muatan setinggi mana yang mungkin, namun pada masa sama apa yang lebih penting adalah bagaimana MAS dapat menetapkan harga yang berdaya saing,” katanya pada sidang media menyambut ketibaan pesawat A380 itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
Ketibaan rombongan disertai 91 tetamu dan kakitangan MAS, termasuk Ahmad Jauhari disambut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Pesawat yang diterbangkan Kapten Norshid Ali itu tiba di KLIA kira-kira jam 10 pagi selepas membuat penerbangan terus 12 jam dari Toulouse.
Ia akan membuat penerbangan sulungnya, MH2 dari KLIA ke London malam esok dan penerbangan sulung MH3 dari London ke KLIA keesokannya.
Pada majlis semalam, MAS turut melancarkan Lounge Kelas Pertama dan Perniagaan Antarabangsanya yang baru dinaikkan taraf.
MAS adalah syarikat penerbangan kelapan dunia yang menggunakan pesawat A380, yang dianggarkan bernilai AS$390 juta (RM1.2 bilion) setiap unit.
Syarikat penerbangan kebangsaan itu akan menerima lima lagi pesawat jenis itu sehingga Mac tahun depan.
Ahmad Jauhari berkata, MAS akan membuat keputusan berhubung destinasi serta tempoh kekerapan penerbangan bagi lima lagi pesawat itu pada suku ketiga ini.
“Kami sudah menghantar kertas cadangan, termasuk kepada Lapangan Terbang Narita di Jepun, dan lapangan terbang di China. MAS dijadualkan akan membuat pengumuman pada akhir suku ketiga ini,” katanya.
Pesawat A380 yang pertama itu dikhususkan untuk penerbangan ke London dengan kekerapan tiga kali seminggu.
Sementara itu, pesawat kedua yang dijadualkan tiba bulan depan akan membuat penerbangan harian ke London, dengan penerbangan sulungnya dijangka pada 25 Ogos ini.
Ahmad Jauhari berkata, ketibaan pesawat baru yang merendahkan usia angkatan pesawat MAS itu juga memberi isyarat bermulanya tahap produk dan pengalaman baru kepada penumpangnya.
“Ini sebahagian inisiatif pembaharuan angkatan pesawat untuk menurunkan purata usia pesawat kami, yang kemudian akan menghasilkan pengurangan kos dengan ketara,” katanya.
No comments:
Post a Comment