KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd kini
menempa sejarah baharu menerusi pelancaran Proton Preve yang dapat
memenuhi citarasa pelanggan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Beliau berkata
pelancaran model kereta global baharu itu mencerminkan transformasi
Proton untuk melonjak ke tahap yang lebih tinggi setelah lebih 27 tahun
meneraju industri automotif negara menerusi model kereta nasional.
“Ia
juga merupakan perkembangan yang signifikan. Dengan semangat yang
ditunjukkan oleh kakitangan Proton, sokongan kerajaan dan pimpinan Tun
Mahathir sebagai penasihat, serta pengurusan yang digabung jalin antara
DRB-Hicom dan Proton, Proton akan menempa masa depan yang lebih hebat,”
kata Najib.
Beliau berkata demikian
ketika berucap melancarkan model kereta nasional terbaharu di Pusat
Pameran dan Persidangan Antarabangsa Malaysia di sini. Turut hadir ialah
penasihat Proton Tun Dr Mahathir Mohamad.
Proton
kini dikuasai secara majoriti oleh DRB-HICOM selepas DRB-HICOM
memperoleh kepentingan 42.74 peratus daripada cabang pelaburan kerajaan,
Khazanah Nasional Bhd.
Najib berkata
Proton berjaya melakukan transformasi menerusi kualiti kejuruteraan dan
prestasi bertaraf global serta pelbagai nilai tambah lain, termasuk
kemudahan Internet 4G, sehingga meletakkan Preve sebagai “bertaraf lebih
tinggi berbanding kebanyakan kereta lain.”
“Kesungguhan kakitangan Proton menghasilkan kereta ini akan menjadi kebanggaan dan kegembiraan semua rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara
itu, Najib berkata pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom Bhd mampu
membawa Proton ketahap yang lebih unggul memandangkan synergi yang ada
pada syarikat konglomerat berkenaan.
“Pemilihan
DRB-Hicom telah melalui proses yang objektif dan kita telah buat
penilaian,” katanya, sambil menambah, DRB-Hicom juga mempunyai pelan
korporat yang terbaik untuk Proton pada masa depan.
“Ia merupakan satu perkahwinan yang akan membawa kepada natijah yang menguntungkan Proton dan negara,” katanya.
Dalam
perkembangan lain, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang dalam proses
untuk menambah baik Dasar Automotif negara agar syarikat tempatan
berupaya bersaing dengan pembuat kereta negara lain dan tidak bergantung
harap kepada kerajaan semata-mata.
Usaha
penambaikan dasar berkenaan akan diteraju oleh Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment